Friday, 8 January 2010

Hilang Jawatan ?

NAJIB TENTUKAN KEDUDUKAN MB

(www.memobelakang.blogspot.com RABU, APRIL 22, 2009)

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menyerahkan kedudukannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, keputusan sama ada mengekalkan kedudukannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan itu atau sebaliknya, terletak di tangan Najib.

Katanya, beliau akan menerima segala keputusan Perdana Menteri.

"Saya tidak mahu komen. Kita tunggu dan lihat (keputusan itu nanti).

"Saya tidak bimbang dan tiada masalah. Saya okey," katanya ketika ditemui di Setiu semalam.

Beliau berkata demikian selepas melawat penduduk Kampung Penarik di sini yang mengalami kerosakan rumah akibat angin kencang di sini semalam.

Najib dijangka mengumumkan rombakan jawatan tertinggi UMNO selepas mesyuarat pertama Majlis Tertinggi UMNO (MT) Jumaat ini termasuk senarai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri-negeri.


Dalam pada itu, beliau enggan mengulas pertemuannya dengan Najib berhubung kemelut politik yang melanda Barisan Nasional (BN) Terengganu minggu lalu.

Pada hemat saya, Najib hendaklah mengekalkan Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu selagi beliau menjadi Menteri Besar Terengganu. Majoriti Ketua UMNO bahagian menyokong Ahmad Said. Jadi Najib tak perlu tunduk kepada 10 ADUN yang enggan menerima Ahmad Said. Mereka adalah kumpulan yang sudah kalah dalam pemilihan bahagian lalu seperti Din Adam, Rosol Wahid. Jadi mereka tak perlu dilayan oleh Najib.

Seperti mana ditegaskan oleh saya sebelum ini yang boleh menentukan kedudukan Ahmad Said ialah Sultan Terengganu sendiri. Jika Baginda tidak mahu lagi Ahmad Said, maka beliau akan berundur dari jawatan itu. Maka sebaik-baiknya ikutlah arahan Sultan Terengganu dan janganlah jadi penderhaka seperti 10 orang ADUN itu.

Disediakan oleh Zabidi Hj Saidi -

TUGAS BERAT HISHAMUDDIN
www.hambali1.bplospot.com


Datuk Seri Hishammuddin Hussein berdepan dengan tugas berat.
Ada dua pandangan berbeza yang ketara antara kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan bekas Menteriu Besar, Datuk Seri Idris Jusoh mengenai perlantikan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu yang baru.

Selain itu Kumpulan 10 yang menentang Ahmad Said sudah membuat kenyataan bahawa mereka tidak mahu berdamai.
Persoalannya siapa serang siapa dan siapa yang menawarkan perdamaian.
Amat aneh apabila dalam kes ini, yang kena serang (Ahmad Said) yang kena serang ajak berdamai dan pihak yang menyerangnya, enggan berdamai.

Presiden parti dan Perdana Menteri perlu melihat isu ini dengan serius.
Ahmad Said berjanji akan bekerjasama dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang baru, bagi mengukuhkan parti itu di negeri ini.

Sebagai Timbalan Pengerusi, beliau akan membantu Naib Presiden UMNO itu melaksanakan tugas tersebut sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Pelantikan Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri itu diumumkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Bekas Menteri Besar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh pula berkata, pelantikan Hishammuddin diyakini dapat menangani isu krisis kepercayaan terhadap Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Idris sebaliknya berkata pelantikan Naib Presiden Umno itu, juga akan dapat menyelesaikan masalah pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Selain itu, Idris yang juga Adun Jertih, berkata ia juga dapat menyelesaikan pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang telah dinafikan kuasa kepada Adun oleh Menteri Besar, sebelum ini.

Jelas ada perbezaan ketara dalam kedua-dua kenyataan ini di mana Ahmad Said tidak langsung menimbulkan kemelut politik dan serangan terhadap beliau, sebaliknya Idris nampaknya belum berpuas hati dengan apa yang difikirkannya patut diselesaikan hasil perubahan kepimpinan Terengganu itu.

Kepada Ahmad Said beliau menganggap Hishammuddin yang bukan asing kepada Terengganu akan membolehkan gandingan mereka ‘adalah yang terbaik’ bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ahmad Said tidak menyebut langsung soal ‘serangan terhadapnya’ yang sepatutnya beliaulah merasa tertekan dan mengharapkan Hishamuddin dapat meredakan politik Teren gganu yang masih terasa bahangnya.

Selain itu Ahmad Said berharap benar agar ahli UMNO di semua peringkat menerima keputusan itu dan memberi sokongan padu kepada pucuk pimpinan UMNO negeri yang baru untuk mengukuhkan parti.

Idris pula percaya pentadbiran parti akan jadi lebih baik dan tersusun, yang membawa makna jelas bahawa UMNO Terengganu kini dalam keadaan ‘huru hara’.

Kelab Penyokong BN Terengganu semalam menolak pelawaan Ahmad Said untuk berdamai dan kembali bekerjasama dengan ADUN yang dilabel sebagai penentangnya bagi mengembalikan semula kestabilan politik di negeri ini.

Setiausahanya, Alias Abdullah, berkata kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu pernah diucapkan ketika mengambil alih jawatan sebagai Menteri Besar pada Mac tahun lalu, apabila mengatakan berazam menjadi pemimpin berjiwa besar dan tidak meminggirkan wakil rakyat yang pada awalnya tidak menyokong beliau.

"Bukan saja ucapan itu tidak pernah direalisasikan, Ahmad sebaliknya sentiasa melabelkan sebahagian besar wakil rakyat BN sebagai kumpulan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh," katanya ketika dihubungi, semalam.

Jelas Hishamuddin terpaksa berdepan dengan cabaran bagaimana membawa Kumpulan 10 untuk duduk semeja dengan Ahmad Said.

Persoalan juga, bagaimana Hishamuddin akan ‘menguruskan isu sms ugut bunuh’ jika perkembangan seterusnya semakin membuktikan ada pengikut orang penting politik daripada Kumpulan 10 itu melakukan perbuatan berkenaan.

Ini berikutan polis sedang mengesan bekas calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 lepas, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata, Ahmad Ramzi yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

ANTARA UBI GADUNG DAN AIR NIRA(2)
(www.hambali1.bplospot.com)

Ada yang sudah lari hanya memakai seluar dalam.

Ada pula yang pakai seluar dalam di luar – merah + biru – macam Superman tetapi tidak boleh terbang, walaupun mahu lari jauh-jauh dari Terengganu.

Mahu tidak mahu. kena bertahan di Besut dan Setiu. Ramai pemimpin UMNO Terengganu kini benar-benar ‘mabuk ubi gadung’.

Ramai bertempiaran kerana takut ditangkap polis akibat buat kenyataan mengenai sms ugutan bunuh macam orang mabuk ‘mabuk ubi gadung’.

Antaranya sudah ‘melarikan diri’ ke beberapa negeri lain untuk mengelak daripada dikesan.
Mereka bukan sekadar mabuk ubi gabung tetapi juga terminum ‘air nira’.

Mereka yang terminum ‘air nira’ kini benar-benar ketakutan apabila polis dijangka akan menangkap lebih ramai mereka kerana ‘kemanisan air nira’ menyebabkan mereka tidak sedar bahawa sms ugut bunuh ADUN dilakukan oleh ‘puak mereka sendiri’.

Kini beberapa ADUN yang lantang bersuara semakin menurunkan suara, malah ada yang tutup terus telefon mudah alih mereka.

Wartawan semakin sukar menghubungi beberapa pemimpin UMNO yang sebelum ini berdegar-degar menuduh dan mengatakan orang.

Saya mendengar berita polis sedang mencari dan mengesan seseorang yang bergelar Dr. (Doktor Falsafah) kerana dikatakan dikaitkan dengan sms berkenaan.

Benar atau tidak, polis sahaja yang dapat mengesahkannya.

Orang ini menghilang dari kediamannya di Kuala Terengganu dan Bangi. Malah beliau turut di kesan di Kuantan.

Dikatakan, jika orang ini dapat dicekup, siasatan polis akan menjadi lebih mudah.
Dan, apabila polis semalam mengambil keterangan seorang kerani syarikat swasta (ada kaitan dengan UMNO?) yang disyaki menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu, baru-baru ini, ada ADUN yang menggigil.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah II negeri, Superintendan K Manoharan, berkata lelaki berusia 31 tahun itu dibawa ke Terengganu dari Bandar Baru Bangi, Selangor, semalam.

"Kita mengambil keterangan daripada suspek bagi membantu siasatan kes ini," katanya di Kuala Terengganu semalam.

Harian Metro melaporkan semalam kerani yang ditahan selepas disyaki bertanggungjawab menghantar tiga khidmat pesanan ringkas (SMS) berbau ugutan itu didapati mempunyai hubungan dengan seorang ahli politik di negeri itu.

Bagaimanapun, polis enggan mendedahkan hasil siasatan awal serta status ‘hubungan’ dimaksudkan, sebaliknya hanya menceritakan butiran mengenai tangkapan dibuat Isnin lalu.

Kerani terbabit yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor ditahan di Bandar Baru Bangi kira-kira jam 9.30 malam, tiga hari lalu (Isnin) kerana dipercayai menghantar SMS berbaur ancaman kepada tiga Adun Barisan Nasional Terengganu, 13 April lalu.

Yang menariknya, di Kuala Terengganu, ada cakap-cakap beberapa kemungkinan berikut semakin terserlah:

1. Mungkin lelaki berkenaan ada kaitan dengan seseorang berprofil tinggi di Terengganu yang rapat dengan seorang ahli politik terkenal;

2. Kerani ini rapat dengan orang tertentu di Ibu Pejabat UMNO Malaysia; dan

3. Kerani ini bekerja untuk seseorang yang memang termasuk dalam kumpulan 10 ADUN yang melancarkan ‘pemulauan terhadap Sidang DUN Terengganu’.

Kerani terbabit kini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Setakat ini, polis tidak boleh memberikan sebarang maklumat lanjut kerana kes ini masih disiasat," katanya.

Juga menjadi pelik ialah, beberapa ADUN kini seakan mempertikaikan kecekapan dan keikhlasan polis dalam menjalankan siasatan.

Ada ADUN yang tetap menuding jari kepada Wan Ahamad Wan Muda, iaitu Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, walaupun jelas polis sudah menolak andaian Wan Ahmad terbabit.
Malah, mereka ini bagaikan ingkar bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib sendiri menolak kemungkinan itu.

Mereka bagaikan mencabar polis dan tindakan mereka bertentangan dengan keyakinan awal dalam isu sms ugut bunuh ini kerana:

1. Mereka meyakini polis boleh melindungi ketika ‘diugut’ dan kerana jaminan polis, mereka hadiri Sidang DUN;

2. Mereka membuat laporan polis mengenai ‘ugutan’ dan yakin kepada polis dalam menghuraikan masalah mereka;


3. Bagaimanapun mereka mempersoalkan kecekapan polis apabila membuat kenyataan seolah-olah meragui kecekapan dan ketelusan polis apabila polis bagaikan ‘membebaskan’ Wan Ahamad; dan

4. Beberapa ADUN daripada kumpulan 10 itu sehingga semalam seperti dilaporkan oleh Sinar Harian, meragui siasatan dengan mempersoalkan kredibiliti polis dalam beberapa perkara.
Persoalannya, apakah mereka menganggap polis Terengganu tidak telus dan cekap?

Janganlah pada ketika mengharapkan hasil siasatan , kita terus menerus mempersoalkan ‘tugas polis’, lebih-lebih lagi pada saat punca segala masalah ‘sms ugut bunuh ADUN’ kini semakin menampakkan perkembangan meyakinkan.

Apapun, Ahmad Said tetap yakin bahawa “Tuhan Maha Kaya, perkara yang tidak betul akan terbongkar dengan sendirinya...lambat atau cepat Tuhan akan tunjukkan siapa benar, siapa salah dan kini terbukti pihak yang melakukan kesalahan ditahan polis.

“Saya yakin kecekapan polis dan mengucapkan terima kasih atas kepantasan mereka menahan lelaki yang menghantar SMS menggunakan nombor telefon pegawai kanan saya,” katanya.

BILA ORANG LUAR JADI PENGERUSI PERHUBUNGAN
(
www.memobelakang.blogspot.com ISNIN, APRIL 27, 2009}

Apa nak jadi dengan negeri Terengganu? Orang terengganu bergaduh sesama sendiri, maka dapatlah orang luar jadi Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu. Padan dengan muka. Cucu kepada ahli parlimen Parti Negara dari kawasan Kuala Terengganu pada tahun 60an (Datuk Onn Jaafar) kini menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu seperti diumumkan Jumaat lepas.

Saya ada menerima sms dari nombor yang tidak dikenali 0145078780 yang mengatakan dua orang tidak menandatangani memorandum dari 8 ketua bahagian yang menyokong Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu. Mereka ialah Idris Jusoh (Besut) dan Nasir Ibrahim Fikri (Kuala Nerus). Pengirim sms itu yang dikrim pada jam 12.05 tengah malam 25 April lalu hairan kenapa Nasir enggan menandatangani memorandum itu.

Inilah demokrasi UMNO. Enam ketua bahagian sokong Ahmad said tetapi Ahmad said digugurkan sebagai pengerusi perhubungan. Perlu apa hantar Haishamuddin ke Terengganu sebagai pengerusi perhubungan? Ia akan menyulitkan keadaan lagi kerana Ahmad Said adalah Menteri Besar sedangkan Hishamuddin adalah Menteri Dalam negeri. Kalau Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin yassin yang dihantar ke Terengganu, keadaan lebih mudah dikawal kerana beliau adalah Timbalan Perdana Menteri.

Pada tahun 1999, selepas BN tewas di Terengganu, Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi dihantar mempengerusikan Badan Perhubungan UMNO Terengganu. Pak Lah adalah TPM maka beliau dihormati oleh semua ketua bahagian. Menghantar Hishamuddin tidak akan menyelesaikan masalah UMNO Terengganu. Sebaliknya lebih mudah PAS menawan Terengganu pada pilihanraya umum akan datang.

Yang jelas Ahmad Said selaku Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri masih di situ dan sudah tentu Hishamuddin akan banyak menyerahkan tugasnya kepada Ahmad Said. Yang jelas mungkin dilantik Setiausaha Perhubungan ialah Din Adam (ADUN Bukit Besi) dan bendahari Sabry Alwi (bekas Ketua Pemuda Negeri).

Dapatkah Hishamuddin mempertahankan Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang? Ia bergantung kepada sokongan kedua kem, kem Idris Jusoh dan kem Ahmad said. semoga hishamuddin dapat menyatukan kedua-dua kem ini.

Khamis lepas saya berada di the Mall. saya bertemu dengan seorang G7 dari Hulu terengganu. Beliau memberitahu Dr. Ramzi Zubir bekas setiausaha politik Idris Jusoh jadi dalang mengirim sms ugut tiga orang ADUN. Sabtu lalu polis mengesahkan sedang mencari Dr. Ramzi. Maknanya hebat juga puak Idris mahu memalukan Ahmad Said terpaksa mencipta sms ugutan sendiri, sehingga tujuh orang yang tidak menerima ugutan pun tidak menhadiri sidang Dewan Undangan negeri.

Jika benar Dr. Ramzi terlibat, maka 10 ADUN ini perlu letak jawatan kerana mereka tidak ada niat lain selain memalukan kerajaan BN sendiri. Oleh itu Najib Razak selaku Presiden UMNO perlu melihat kes ini secara serius. Inilah ujian pertama bagi hishamuddin sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu. Semoga beliau dapat mempertahankan Terengganu dari jatuh ke tangan PAS? Janganlah dalam sejarah nanti, nama anda disebut sebagai pengerusi perhubungan UMNO Terengganu ketika BN Terengganu tumbang pada pilihanraya umum 2012.

Disediakan oleh Zabidi Hj Saidi - @ 10:54 AM http://www.blogger.com/img/icon18_email.gif

Label: luar, orang muda

MB SEDIA LEPASKAN JAWATAN

(www.memobelakang.blogspot.com RABU, APRIL 29, 2009)

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said rela melepaskan jawatannya jika rakyat mendapati beliau gagal menjalankan tugas.

Katanya, hanya rakyat yang layak memberi penilaian sama ada beliau berjaya atau gagal mentadbir negeri ini.
Jika rakyat berasakan beliau gagal menjalankan tugas yang diberikan, maka katanya, mereka berhak menggantikan beliau dengan pemimpin lain.


''Sama ada rakyat masih mahukan saya memimpin mereka atau sebaliknya, terserah. Jika saya gagal, gantilah saya.


"Tetapi untuk masa yang singkat ini berilah saya peluang membuktikan keikhlasan dan kesungguhan memperjuangkan nasib rakyat.

''Jangan diletak halangan di hadapan saya yang bertujuan menggagalkan saya. Jika kita semua berjiwa besar dan ikhlas dalam perjuangan, bantulah saya untuk memakmurkan rakyat dan negeri," ujarnya.


Beliau berkata demikian selepas melancarkan kemudahan sistem televisyen litar tertutup tanpa wayar di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu di Kuala Berang dua hari lepas.

Isu mengenai kedudukan Ahmad sebagai Menteri Besar timbul berikutan tindakan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) tidak hadir pada hari kedua sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.


Mereka bertindak demikian atas alasan bimbang keselamatan masing-masing berikutan penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS) berbau ancaman kepada Datuk Rosol Wahid (Ajil), Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dipercayai berhubung kemelut politik di negeri ini.


Ditanya kenapa beliau mendiamkan diri sejak isu tersebut timbul, Ahmad menjelaskan, beliau bersikap demikian kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan serta menambah kekeliruan rakyat terhadap kemelut yang berlaku.


''Elok saya berdiam diri dan kini kebenaran telah mula terungkai. Kita perlu ikhlas dalam perjuangan. Rakyat menjadi hakim dan kebiasaannya hukuman yang dijatuhkan oleh rakyat menggambarkan sentimen mereka," ujarnya.


Ahmad mengaku kemelut yang berlarutan sejak beliau dilantik menjadi Menteri Besar hingga ke hari ini adalah merupakan sejarah hitam dalam perjuangan UMNO di Terengganu.


Katanya, perasaan semua ahli UMNO seharusnya dijaga dan yang lebih penting ialah perasaan rakyat yang sekian lama menaruh harapan kepada UMNO untuk membela mereka.


''Kepada ahli UMNO, pilihlah jalan yang benar dan berbaik kerana kita sekarang bukan hanya berhadapan parti lawan tetapi kerenah dalaman yang akan membuat rakyat hilang kepercayaan kepada parti.

Berdasarkan kenyataan Ahmad Said di atas, ternyata beliau ikhlas mahu membangunkan negeri Terengganu tetapi menerima halangan daripada 18 ADUN yang masih menyokong Idris Jusoh. Inilah kesilapan besar Ahmad Said. Sepatutnya dalam tempoh satu tahun berkuasa, isu ini sudah selesai dengan menambat hati 18 ADUN ini dengan melayan kehendak mereka. Mereka mahu jawatan, beri jawatan. Mereka mahu projek, beri projek. Jadi mereka tidak melawan Ahmad Said.

Akibat kedegilan Ahmad Said terus menindas mereka sehingga mereka dibuang Pengerusi Penyelaras DUN walaupun mereka adalah ADUN, maka mereka membalas dendam dan melaporkan kepada Presiden UMNO yang baru, Najib Razak. Hasilnya Ahmad Said diturunkan pangkat menjadi Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu. Beliaulah satu-satunya Menteri Besar yang tidak berada dalam majlis tertinggi UMNO.

Di Perlis kumpulan Shahidan Kassim bergaduh dengan kumpulan Dr. Mat Isa Sabu tetapi Dr. Isa dilantik Pengerusi Perhubungan UMNO perlis. Kenapa Najib tak hantar Naib Presiden UMNO sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis? Adakah kerana Perlis tidak memberi keuntungan kepada calon Naib Presiden kerana Perlis ada tiga Bahagian UMNO sahaja sedangkan Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu mempunyai banyak UMNO Bahagian?

Rosol Wahid dalam blognya menulis adakah Ahmad Said akan melepaskan jawatan Menteri Besar? Pada hemat saya, Ahmad Said tak perlu letak jawatan kecuali dia buat salah kepada rakyat seperti melakukan rasuah. Ahmad Said berjaya membawa balik royalti minyak ke negeri Terengganu. Nak harap kepada Idris Jusoh, Idris hanya layan projek Patrick Badawi saja sehingga tak bersuara untuk desak Pak Lah serahkan semula royalti minyak kepada negeri.

Oleh itu rakyat akan menilai sama ada Ahmad Said ikhlas berjuang untuk rakyat suatu hari nanti. Pedulikanlah 18 ADUN yang keras kepala ini. Mereka lebih pentingkan diri sendiri dan bukannya pentingkan rakyat. Cuma jangan layan sangat kerabat diraja.

Rakyat marah kerana banyak sangat projek dibolot oleh kerabat diraja. Zaman Wan Mokhtar dulu ada Seri Terukun yang dianggap sebagai kontraktor ditaja. Kita tidak mahu di zaman Ahmad Said rakyat mencemuh beliau kerana semua projek mahu disapu kerabat diraja hinggakan yang kecil-kecil pun kerabat diraja mahu sapu. Sebagai Menteri Besar, berlakulah adil mengagihkan projek kepada rakyat dan bukannya kepada kroni semata-mata.

Jika anda berlaku adil, Allah akan menolong anda ketika dilanda krisis seperti ini. Bersabarlah Ahmad Said. Digugurkan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu tidak bermakna anda sudah tidak bagus kerana kuasa masih ada di tangan anda sebagai Menteri besar. Jadi gunakanlah kuasa itu untuk kepentingan rakyat.

Disediakan oleh Zabidi Hj Saidi

No comments:

Post a Comment